Tuesday 3 October 2017

Ditahan polis secara tiba-tiba, khuatir akan disaman kerana nombor plat keretanya, rupa-rupanya ini yang dilakukan oleh anggota polis ini

Pada 28 Ogos lalu, Matthew Manley sedang dalam perjalanan pulang dari hospital St. Louis sejauh 80 kilometer, untuk mengambil anak saudara perempuannya yang berusia 5 tahun, Sydney, untuk menjalani rawatan kemoterapi. Tiba-tiba, dia telah ditahan oleh Pegawai Shawn Birdsong kerana pelanggaran lalu lintas yang berlaku di daerah St. Charles.

Pegawai Birdsong datang dan bertanya tentang nombor plat keretanya. Kereta Manley ketika itu tidak mempunyai plat yang betul, kerana dia terlupa untuk menukar plat dari kenderaan lamanya ke kereta barunya. Selepas itu, pegawai polis tersebut kembali semula ke keretanya dan membuat boot belakang kereta itu untuk mengambil sesuatu.

Manley mula berasa bimbang dan risau jika dia akan ditahan oleh pegawai polis tersebut.

"Saya tidak pasti apa yang dilakukannya," kata Manley dari Hermann, Missouri, kepada FOX 2. Manley juga memaklumkan perkara itu kepada isterinya, Dana.

"Dia menghantar teks kepada saya dengan rasa takut," kata Dana.

Tetapi sebenarnya, Pegawai Birdsong telah melihat seorang kanak-kanak perempuan yang duduk di kerusi belakang kereta Manley. Sydney kelihatan botak kerana dos kemoterapi hariannya. Dia telah bergelut dengan kanser buah pinggang yang dikenali sebagai Wilms' Tumor sejak tahun 2015 lagi.

Beberapa saat kemudian, Pegawai Birdsong kembali tidak hanya dengan kertas saman, tetapi juga dengan beg sandang yang penuh dengan pakaian, peralatan seni dan mainan haiwan untuk Sydney.

Pegawai Birdsong menyerahkan Manley kertas saman kerana masalah plat keretanya. Seterusnya, dia memberikan beg sandang kepada Sydney sebelum memandu pergi.

Sydney membuka beg sandang itu dan mendapati terdapat sekeping nota tulisan tangan yang berbunyi: "Dari Pegawai Shawn: Semoga kamu akan berasa lebih baik tidak lama lagi." Pegawai yang baik dan bijak itu juga melukis wajah senyuman lucu pada nota itu.

Jabatan Polis St. Charles memberi beg galas ini untuk kanak-kanak di bawah Projek Backpack St. Louis, sebuah program yang membantu kanak-kanak yang memerlukan.

"Beg sandang kami adalah alat yang berkuasa untuk membantu para profesional ini meringankan trauma kanak-kanak. Beg sandang itu juga memberitahu kanak-kanak bahawa masih ada orang yang peduli akan mereka walau dalam keadaan apa pun yang sedang melanda mereka," ujar Projek Backpack di laman webnya.

Sydney telah melalui banyak pengalaman yang menyakitkan dan isyarat seperti ini sangat memberi makna kepada pesakit kecil ini dan keluarganya.

Dana Manley juga memuat naik status di laman Facebook Charles County Missouri Scanner Traffic untuk berkongsi tentang apa yang dilakukan oleh Pegawai Birdsong. "Dia telah membuatkan hari kanak-kanak ini lebih baik dan itulah yang penting."

Pegawai Birdsong yang tahu tentang status Facebook itu kemudian berhubung dengan Dana Manley. Sejak itu, dia menghubungi mereka tiga hingga empat kali untuk memeriksa keadaan Sydney.

"Ia membuatkan saya menangis lagi," kata Dana Manley.

"Polis melakukan pekerjaan mereka, tetapi mereka juga manusia biasa," kata Manley.

Sesungguhnya apa yang dilakukan pegawai polis ini adalah sesuatu yang sangat baik dengan memberi semangat buat si kecil agar terus kuat untuk melawan penyakitnya!

Kredit foto: Huffpost

Era Baru

The post Ditahan polis secara tiba-tiba, khuatir akan disaman kerana nombor plat keretanya, rupa-rupanya ini yang dilakukan oleh anggota polis ini appeared first on Era Baru Malaysia.



View Original

No comments:

Post a Comment

Cari Blog Ini